Matu merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di
Negeri Sarawak. Seperti daerah-daerah lain, Matu juga mempunyai sejarah
dan latar belakangnya tersendiri. Lingkungan tahun 1930-an, Matu
merupakan sebuah perkampungan kecil yang merangkumi Kampung Kuala Matu,
Kampung Sekaan, Kampung Jamoreng dan Kampung Tian. Pertambahan
bilangan penduduk di perkampungan kecil itu meningkat pada tahun
1940-an iaitu lebih kurang seramai 3,000 orang. Ketika itu, Matu
ditadbir oleh Muara Rejang termasuklah Daerah Sarikei dan Daro. Dalam
dialek tempatan, Matu disebut sebagai ‘Matau’ atau ‘Mato’
yang merujuk kepada nama pokok Matau yang banyak terdapat di Matu.
Sebelum menjadi sebuah penempatan, kawasan Matu banyak ditumbuhi
pokok-pokok tersebut dan akhirnya ia menjadi pencetus ilham penubuhan
kawasan ini.
Setelah kerajaan kolonial British menjajah Sarawak pada tahun 1946, pentadbiran kawasan ini berpindah ke Daerah Sarikei. Ketika itu, Matu dikenali sebagai Daerah Matu-Daro
iaitu gabungan Matu dan Daro yang membentuk sebuah daerah. Semasa
pemerintahan British, daerah kecil ini mempunyai kira-kira 600 buah
rumah, pejabat kerajaan, balai polis, klinik dan bangunan-bangunan
kerajaan yang lain. Kesemua bangunan ini terletak berdekatan dengan
tebing sungai. Tidak jauh dari kawasan pentadbiran, terdapat bazar yang
menempatkan 20 buah rumah kedai dan sebuah banglo sebagai tempat
penginapan pegawai British yang datang melawat Matu.Setelah Sarawak menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, pada 2 April 1973, Matu telah diisytiharkan sebagai sebuah sub-daerah dan pentadbirannya berpusat di Daro. Lokasi Daerah Matu-Daro terletak sepanjang pesisir pantai Loba Paloh dan Batang Igan termasuk sebahagian besar Pulau Bruit. Daerah Matu-Daro mempunyai keluasan lebih kurang 2,000 kilometer persegi dan mencatatkan populasi seramai 17,000 orang. Majoriti penduduknya berbangsa Melanau dan selebihnya bangsa-bangsa lain seperti Cina, Melayu dan Iban. Daerah Matu-Daro di kelilingi hutan paya bakau dan keadaan ini sekali gus mempengaruhi muka buminya yang bertanah paya. Matu hanya diisytiharkan sebagai daerah penuh pada 5 Mei 1991 dengan kemasukan Igan sebagai sub-daerah Matu. Pentadbirannya diambil alih oleh Mukah setelah daerah ini di naik taraf sebagai sebuah kawasan baru di Negeri Sarawak pada 1 Mac 2002
No comments:
Post a Comment